Suasana
di majlis pertemuan itu hening sejenak. Semua yang hadir diam membatu.
Mereka seperti sedang memikirkan sesuatu. Lebih-lebih lagi Saidina Abu
Bakar. Itulah pertama kali dia mendengar orang yang sangat dikasihi
melafazkan pengakuan sedemikian. Seulas senyuman yang sedia terukir di bibirnya pun terungkai. Wajahnya yang tenang berubah warna.
"Apakah
maksudmu berkata demikian, wahai Rasulullah? Bukankah kami ini
saudara-saudara kamu? "Sayyidina Abu Bakar bertanya melepaskan gumpalan
teka-teki yang mula menyerabut fikiran.
"Tidak,
wahai Abu Bakar. Kamu semua adalah sahabat-sahabatku tetapi bukan
saudara-saudaraku (ikhwan), "suara Rasulullah bernada rendah.
"Kami juga ikhwanmu, wahai Rasulullah," kata seorang sahabat yang lain pula. Rasulullah menggeleng-gelangkan kepalanya perlahan-lahan sambil tersenyum. Kemudian Baginda bersuara,
"Saudaraku
ialah mereka yang belum pernah melihatku tetapi mereka beriman denganku
sebagai Rasul Allah dan mereka sangat mencintaiku. Malahan kecintaan
mereka kepadaku melebihi cinta mereka kepada anak-anak dan orang tua
mereka. "
Pada ketika yang lain pula, Rasulullah menceritakan tentang keimanan 'ikhwan' Baginda:
"Siapakah yang paling ajaib imannya?" Tanya Rasulullah.
"Malaikat," jawab sahabat.
"Bagaimana para malaikat tidak beriman kepada Allah sedangkan mereka sentiasa dekat dengan Allah," jelas Rasulullah.
Para sahabat terdiam seketika. Kemudian mereka berkata lagi, "Para nabi."
"Bagaimana para nabi tidak beriman, sedangkan wahyu diturunkan kepada mereka."
"Mungkin kami," celah seorang sahabat.
"Bagaimana kamu tidak beriman sedangkan aku berada di tengah-tengah kamu," pintas Rasulullah menyangkal hujah sahabatnya itu.
"Kalau begitu, hanya Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih mengetahui," jawab seorang sahabat lagi, mengakui kelemahan mereka.
"Kalau
kamu ingin tahu siapa mereka, mereka ialah umatku yang hidup selepasku.
Mereka membaca Al-Quran dan beriman dengan semua kandungannya.
Berbahagialah orang yang dapat berjumpa dan beriman denganku. Dan tujuh
kali lebih berbahagia orang yang beriman denganku tetapi tidak pernah
berjumpa denganku, "jelas Rasulullah.
"Aku
sungguh rindu hendak bertemu dengan mereka," ucap Rasulullah lagi
setelah seketika membisu. Ada berbaur kesayuan pada ucapannya itu.
Begitulah
nilaian Tuhan. Bukan jarak dan masa yang menjadi ukuran. Bukan bertemu
wajah itu syarat untuk membuahkan cinta yang suci. Pengorbanan dan
kesungguhan untuk mendambakan diri menjadi kekasih kepada kekasih-Nya
itu, diukur pada hati dan dibuktikan dengan kesungguhan beramal dengan
sunnahnya.
Dan
insya Allah umat akhir zaman itu adalah kita. Pada kita yang
bersungguh-sungguh mahu menjadi kekasih kepada kekasih Allah itu,
wajarlah bagi kita untuk mengikis cinta-cinta yang lain. Cinta yang
dapat merenggangkan hubungan hati kita dengan Baginda Rasulullah saw.
Allahumma shalli ala Muhammad wa ala alihi wa shahbihi ajma'in
Sumber fiqhislam.com
No comments:
Post a Comment