Suatu hari Rasulullah
Muhammad SAW sedang tawaf di Kaabah, baginda mendengar seseorang di
hadapannya bertawaf sambil berzikir: "Ya Karim ! Ya Karim !"
Rasulullah SAW meniru zikirnya "Ya Karim ! Ya Karim !"
Orang itu berhenti di
satu sudut Kaabah dan menyebutnya lagi "Ya Karim ! Ya Karim !"
Rasulullah yang berada di belakangnya menyebutnya lagi "Ya Karim ! Ya
Karim !"
Orang itu berasa dirinya
sepeti di perolok-olokkan, lalu menoleh ke belakang dan dilihatnya
seorang lelaki yang sangat tampan dan gagah yang belum pernah di
lihatnya.
Orang itu berkata, "
Wahai orang tampan, apakah engkau sengaja mengejek-ngejekku, kerana aku
ini orang badwi? Kalaulah bukan kerana ketampanan dan kegagahanmu akan
kulaporkan kepada kekasihku, Muhammad Rasulullah."
Mendengar kata-kata
orang badwi itu, Rasulullah SAW tersenyum lalu berkata: "Tidakkah engkau
mengenali Nabimu, wahai orang Arab?"
"Belum," jawab orang itu.
Jadi bagaimana kamu beriman kepadanya?" Tanya Rasulullah SAW.
"Saya percaya dengan
penuh atas kenabiannya, sekalipun saya belum pernah melihatnya dan
membenarkan perutusannya walaupun saya belum pernah bertemu dengannya, "
jawab orang Arab badwi itu.
Rasulullah SAW pun berkata kepadanya: "Wahai orang Arab, ketahuilah aku inilah Nabimu di dunia dan penolongmu nanti di akhirat."
Melihat Nabi di
hadapannya, dia tercengang, seperti tidak percaya kepada dirinya lalu
berkata, "Tuan ini Nabi Muhammad?" "Ya," jawab Nabi SAW.
Dengan segera orang itu tunduk dan mencium kedua kaki Rasulullah SAW.
Melihat hal itu
Rasulullah SAW menarik tubuh orang Arab badwi itu seraya berkata, "Wahai
orang Arab, janganlah berbuat seperti itu. Perbuatan seperti itu
biasanya dilakukan oleh seorang hamba sahaya kepada tuannya. Ketahuilah,
Allah mengutus aku bukan untuk menjadi seorang yang takbur, yang minta
dihormati atau diagungkan tetapi demi membawa berita gembira bagi orang
yang beriman dan membawa berita menakutkan bagi yang mengingkarinya."
Ketika itulah turun
Malaikat Jibril untuk membawa berita dari langit, lalu berkata, "Ya
Muhammad, Tuhan As-Salam menyampaikan salam kepadamu dan berfirman:
"Katakan kepada orang Arab itu, agar tidak terpesona dengan belas kasih
Allah. Ketahuilah bahawa Allah akan menghisabnya di Hari Mahsyar nanti,
akan menimbang semua amalannya, baik yang kecil mahupun yang besar. "
Selepas menyampaikan
berita itu, Jibril kemudian pergi. Orang Arab itu pula berkata, "Demi
keagungan serta kemuliaan Allah, jika Allah akan membuat perhitungan
atas amalan hamba, maka hamba pun akan membuat perhitungan denganNya. "
Orang Arab badwi berkata
lagi, "Jika Allah akan memperhitungkan dosa-dosa hamba, maka hamba akan
memperhitungkan betapa kebesaran magfirahNya. Jika Dia memperhitungkan
kemaksiatan hamba, maka hamba akan memperhitungkan betapa luasnya
pengampunanNya. Jika Dia memperhitungkan kebakhilan hamba, maka hamba
akan memperhitungkan pula betapa dermawannya."
Mendengar ucapan orang
Arab badui itu, maka Rasulullah SAW pun menangis mengingatkan betapa
benarnya kata-kata orang Arab badwi itu sehingga air mata meleleh
membasahi janggutnya.
Lantaran itu Malaikat
Jibril turun lagi seraya berkata, "Ya Muhammad, Tuhan As-Salam
menyampaikan salam kepadamu dan berfirman: "Berhentilah engkau daripada
menangis, sesungguhnya kerana tangisanmu, penjaga Arasy lupa bacaan
tasbih dan tahmidnya, sehingga ia bergoncang. Sekarang katakan kepada
temanmu itu, bahawa Allah tidak akan menghisab dirinya, juga tidak akan
menghitung kemaksiatannya. Allah sudah mengampunkan semua kesalahannya
dan akan menjadi temanmu di syurga nanti. "
Betapa sukanya orang Arab badwi itu, apabila mendengar berita itu dan menangis kerana tidak berdaya menahan rasa terharu.
*Diterjemahkan oleh Detik Islam dari
sumber peribadirasulullah.wordpress.com
No comments:
Post a Comment