Di zaman dahulu, Firaun,
Raja Mesir ada mempunyai pekerja yang bekerja untuk menyikat rambut
anak-anak perempuannya. Pada suatu hari dengan kehendak Allah,
terjadilah satu peristiwa yang mengukir sejarah sehingga ke hari ini.
Ketika Masitah menyikat anak perempuan Firaun, ditakdirkan jatuhlah
sikat itu daripada tangannya.
Lantas secara spontan, terkeluarlah perkataan, 'Dengan nama Allah celakalah Firaun' dari mulutnya.
Apabila terdengar sahaja
oleh anak Firaun itu, lalu berkatalah dia kepada Masitah, "Wahai tukang
sikat rambutku! Apakah ada Tuhan selain daripada bapaku?"
Masitah menjawab, "Ya, memang ada."
Seterusnya berkatalah anak Firaun kepada Masitah, "Mahukah engkau aku sampaikan perkara ini kepada bapaku?"
Masitah pun menjawab ringkas, "Ya , baiklah."
Maka anak Firaun pun
segera memberitahu bapanya kan perkara tersebut. Apabila terdengar
sahaja berita tersebut, Firaun pun memerintahkan supaya Masitah dibawa
mengadap kepadanya.
Apabila Masitah datang
mengadapnya, lalu Firaun pun bertanya kepada Masitah. Katanya yang
berbunyi, "Apakah ada Tuhan selain dariku?"
Masitah menjawab dengan tegas, "Tuhanku ini adalah Allah (Wajibul Wujud)."
Mendengar jawapan itu,
Firaun pun menitahkan pegawainya memujuk Masitah supaya mengubah
pendiriannya atau membuangkan keimanannya itu. Setelah beberapa cara
atau bermacam-macam pujukan dilakukan, namun Masitah tetap dengan
pendiriannya. Malah, Masitah memberikan jawaban dengan tegas, "Allah
Tuhanku dan Tuhanmu sekalian."
Mendengar yang demikian,
bertambah murkalah Firaun lalu digertaknya Masitah, suami serta
anak-anaknya. "beta akan bunuh sekalian keluargamu!" gertak Firaun.
"Baiklah," jawab
Masitah. "Akan tetapi, ada permntaan hamba yang harus tuanku tunaikan
iaitu hamba mahu sekiranya kalau tuanku akan membunuh hamba, kuburkanlah
hamba ini di suatu perkuburan."
Firaun pun menitahkan
hulubalangnya membawa belanga besar yang berisi minyak bagi merebus dan
menghukum masitah dan anak-anaknya serta suaminya.
Dengan panasan minyak
yang mendidih di atas api, lalu dilontarkan anak-anak Masitah dan
suaminya. Kini tinggallah Masitah dengan anak kecilnya yang sedang dalam
pangkuannya yang masih menyusu. Betapa pilu dan sedihnya tidaklah dapat
dibayangkan.
Akan tetapi Masitah
tidak gentar untuk memasuki minyak yang panas itu. Rasa terharu
menyebabkan beliau tertahan-tahan untuk terjun kerana melihat anaknya
yang masih menyusu dan tidak mengetahui apa-apa.
Lalu dengan kudrat
Allah, anak yang masih kecil itu berkata kepada ibunya, "Wahai ibuku,
masuk sajalah ke dalam belanga ini. Sesungguhnya ibu berada di atas
pihak yang benar."
Dengan demikian, apabila
didengar saja perkataan tersebut, maka bertambah beranilah ia untuk
masuk ke dalam belanga itu. Lantas terjunlah Masitah bersama anaknya ke
dalam belanga tersebut.
Maka berakhirnya riwayat
hidupnya di atas dunia yang fana ini dalam mempertahankan
keimanannyakepada Allah S.W.T. dengan penuh kejayaan. Setelah selesai
peristiwa tersebut, maka Firaun pun menitahkan kepada hulubalangnya
supaya menguburkan Masitah sekeluarga di dalam satu kubur sebagaimana
permintaan Masitah sebelum ia dibunuh.
Oleh kerana teguhnya
iman terhadap Allah dan kesungguhan tekad di dalam hati mereka
masing-masing, lantaran tidak ada was-was dan ragu-ragu di dalam
menghadapi percubaan dan perjuangan iman, maka Allah mengharumkan
kuburnya sampai bertahun-tahun lamanya.
Daripada kisah ini, kita
yakin bahawa iman seseorang kepada Allah tidak akan dibiarkan begitu
sahaja tanpa diuji bagi menentukan sejauh mana teguhnya keimanan itu.
Sebagaimana firman Allah
yang bererti, "Adakah manusia itu mengerti bahawa mereka akan diberikan
sahaja berkat, kami telah beriman. Dengan tiada mendapat cubaan
daripada Allah."
Kita hari ini harus
bersyukur kerana kita tidak menghadapi ujian seperti yang dilalui oleh
Bilal R.A., Masitah, Sumaiyyah, Ammar dan sebagainya, tetapi hari ini
apabila Allah S.W.T. menguji kita dengan sedikit sahaja, kita sudah
mengatakan yang bukan-bukan terhadap Allah S.W.T.
Misalnya apabila kita
sakit, kita akan segera mengeluh tanpa memikirkan apakah sakit kita ini
sama dengan sakit yang ditanggung oleh Nabi Ayyub A.S. Kita sepatutnya
bersyukur kerana itu adalah kehendak Allah ke atas kita. Ia juga adalah
untuk keselamatan dan kebaikan kita. Mungkin dengan sakit yang diberikan
kepada kita itu akan menghalang kita daripada memakan sesuatu yang akan
memudaratkan terhadap kesihatan kita. Allah itu lebih mengetahui dan
Dialah yang paling layak untuk mentadbirkan diri kita.
*Sumber dari nur-addin.blogspot.com
No comments:
Post a Comment